Tak lama lagi semester 2 akan menjelma. Apakah semua pelajar dan warga SEMEKAR sudah siap sedia menghadapinya?. Bagi pelajar-pelajar, semester 2 ini merupakan saat-saat yang penting bagi menguji kemampuan dalam pelajaran melalui beberapa siri peperiksaan yang bakal berlangsung.
Warga Masjid Bukhari SEMEKAR seperti biasa akan sentiasa memastikan dan meningkatkan tahap pengamalan kerohanian pelajar-pelajar berada dalam keadaan yang terbaik. Beberapa kelemahan yang terjadi pada semester lalu dan sebelumnya wajarlah dijadikan iktibar dan teladan. Akhir sekali, kita semua hendakkan pelajar-pelajar memahami peraturan, bukannya mematuhi peraturan secara membabi buta. Pelajar-pelajar kena faham kenapa perlu bangun pagi seawal 4 pagi, kenapa perlu solat berjamaah di masjid setiap waktu, memakai pakaian yang sesuai mengikut program tertentu seperti ketika makan dan menjalani prep.
Pelajar-pelajar hendaklah sentiasa ingat bahawa kemudahan asrama hanya diberikan kepada mereka yang hendak belajar dan memajukan diri. Sekiranya tidak bersedia untuk mengikuti segala program dan peraturan yang disediakan, maka tepuk dada tanyalah selera. Kerajaan kita telah menghabiskan jutaan ringgit bertujuan untuk memajukan pelajar-pelajar agar tidak ketinggalan dengan pelajar-pelajar arus perdana. Lihat contoh ini:
Subsidi seorang pelajar per tahun =
makanan : RM9.60 x 30 hari x 10 bulan = RM 2880.00
buku teks: purata 1 buku RM 10.00 x 10 buku (PMR) = RM100.00
bantuan pakaian seragam : RM 80.00
biasiswa : RM 700.00 (BKP)
Jumlah keseluruhan: RM 3760.00 setahun!
Jumlah bantuan ini hampir menyamai kos pengajian Ijazah Sarjana Muda 2 semester.
Haruslah diingat bahawa setiap pelajar mempunyai amanah dan misi untuk dipikul. Harapan masyarakat agar pelajar SEMEKAR dapat menunjukkan kemampuan dalam mencapai kemajuan dan tidak melakukan kesalahan-kesalahan disiplin yang akan merencatkan prestasi akademik. Segala bantuan tersebut datangnya dari kerajaan. Kerajaan mendapat dana melalui cukai. Dan sebahagian cukai itu datangnya daripada ibubapa pelajar-pelajar yang sebahagian pelajar mungkin tidak memahaminya.
Pihak sekolah berkali-kali menegaskan bahawa telefon bimbit merupakan bahan larangan. Akan tetapi pihak sekolah telah melonggarkan sedikit peraturan dengan membenarkan penggunaan telefon bimbit dengan syarat hendaklah didaftar dna disimpan kepada warden. Namun begitu, ramai pelajar tidak mengambil peluang dengan kelonggaran ini dan terus menggunakannya seolah-olah tidak rasa bersalah. Di manakah rasa tanggungjawab dan amanah yang dipikul ini? Takkanlah di depan Allah hendak dijawab kemudahan telefon awam di sekolah yang tidak sempurna? Semua peraturan merupakan amanah dan setiap amanah akan dipersoalkan semula di akhirat.
Pihak ibu bapa juga hendaklah memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pihak sekolah. Sebahagian ibu bapa kurang memberi kerjasama dan lebih memihak kepada anak dalam satu-satu kejadian. Bahkan, terdapat ibu bapa yang menyerang pihak sekolah serta membuat tuduhan yang bermacam-macam. Hal ini akan menjadikan anak lebih berperasaan hebat dan naik lemak. Menurut pengalaman penulis, guru-guru akan kurang memberi perhatian kepada anak tersebut disebabkan perangainya yang membuatkan guru-guru rasa kurang senang, akhirnya pengajaran pun berlaku ala kadar sahaja, berbeza dengan pelajar yang sentiasa menjaga disiplin, guru-guru akan memberikan perhatian yang sepenuhnya.
Ada satu kisah, penulis melakukan pemeriksaan rutin ketika prep malam. Singgah di satu kelas, terdapat seorang cikgu (cikgu ini sebenarnya amat berdedikasi) sedang melakukan aktiviti tutorial kepada pelajarnya seramai... 5 orang! Penulis pun rasa hairan lantas bertanyakan kepada cikgunya kenapa hanya sebegini ramainya pelajar yang diajar. Cikgu itu menjawab bahawa sebahagian pelajar tidak minat mengikuti kelas tambahan. Peristiwa ini berlaku pada tahun lalu dan masih segar sehingga sekarang.
Kelas tambahan di sekolah ini diberikan PERCUMA. Jika sekolah bandar, ianya berbayar. Atas keprihatinan cikgu tersebut, dengan rela hati mengorbankan waktu REHATnya demi kemajuan anak-muridnya. Malangnya bila penulis mencari pelajar yang tidak menghadiri kelas cikgu tersebut, pelajar tersebut sedang BEREHAT-REHAT di suatu tempat. Dan alasanya, terlupa. Yalah, setiap hari lupa saja.
Satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian ialah budaya couple. Penulis anggap budaya ini telah mencapai tahap kritikal. Kemuncaknya, beberapa kali pelajar kita ditangkap khalwat. Penulis rasa sedih sebab sebelum penulis berada di sekolah ini, penulis menghadapi masalah pemulihan akidah di sekolah penulis sebelum ini yang merupakan sekolah SMK harian. Akan tetapi di sekolah agama ini penulis menghadapi pula masalah pemulihan akhlak.
Justeru itu, pelajar-pelajar sekalian, berubahlah ke arah yang lebih positif agar menjadi pelajar yang dihormati dan disanjung masyarakat. BERUBAHLAH DI SEMESTER 2!
"pusat ibadah, keilmuan, kepimpinan dan informasi" -ke arah masjid inovasi 2016-
Jumaat, Jun 05, 2009
Isnin, Jun 01, 2009
Tahniah Lagi!
Pertandingan Kawad kaki badan unit beruniform SMK Agama Mohamad Ali telah berlangsung pada 28 Mei yang lalu. Hasilnya, pasukan KRS telah berjaya menjuarai pertandingan ini. Nampaknya tidaklah sia-sia berlatih sehingga larut malam. Bagi yang tidak berjaya, cuba lagi di masa akan datang. Bagi pihak Ko-Kurikulum, jutaan tahniah dan syabas kerana berjaya menganjurkan pertandingan ini.
Alfun Mabruk
Khususnya kepada peserta kita yang mewakili kem kepimpinan pelajar peringkat negeri yang berlangsung di Keningau pada 28 Mei yang lalu. Faizurah Wasli (gambar) telah berjaya menggondol johan bagi kategori pelajar perempuan menengah atas dan dengan pencapaian ini, beliau akan meneruskan perjuangannya ke peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Perlis nanti. (rasanya dalam awal Jun). Semoga dengan pencapaian ini akan memberi semangat dan motivasi kepada pelajar-pelajar lain.
Perkembangan ASAT Bahagian Barat 09
Bergembira ketika mengisi masa rehat sebelum persembahan penutup
Sebahagian peserta ASAT daerah Ranau a.k.a SMU
Sebahagian peserta ASAT daerah Ranau a.k.a SMU
Mencari ketenangan sebelum pertandingan
Kota Kinabalu: 29 Mei, Syukur al-hamdulillah diperkenankan Allah s.w.t. dan hasil usaha peserta-peserta ASAT kita, sekolah kita telah mencapai kejayaan dalam kebanyakkan acara. Hasilnya, kita telah mendapat johan dalam acara Nasyid, Pidato Bahasa Inggeris dan Kem Kepimpinan Pelajar. Pasukan bola sepak hanya sekadar di tempat kedua apabila tewas tipis kepada pasukan Tuaran.
Pidato bahasa Inggeris yang diwakili oleh al-Hithir Francis tidak menunjukkan sebarang masalah untuk menjuarai kategori ini. Namun begitu bagi acara nasyid, pelbagai halangan dan cabaran yang terpaksa ditempuhi mereka ketika melakukan persembahan seperti masalah penggiliran yang diawalkan (dari peserta ke-12 kepada peserta 1), masalah teknikal seperti beberapa microfon yang gagal berfungsi. Namun begitu pasukan nasyid tetap memberikan persembahan yang terbaik dan menurut juri, keyakinan mereka adalah antara punca kemenangan.
Syabas kepada keseluruhan kontijen dan juga kepada pihak sekolah yang memberikan komitmen dan sokongan yang tinggi kepada semua peserta ASAT. Pemenang di peringkat bahagian akan bertanding pula di peringkat negeri yang akan dilangsungkan di daerah Keningau pada mulai 3 Jun ini. Justeru itu, marilah semua warga SEMEKAR yang berkelapangan supaya dapat memberi sokongan kepada mereka.
Langgan:
Catatan (Atom)