Selasa, November 30, 2010

Apa yang perlu dilakukan?

Cuti hujung tahun menjelma lagi. Bagi pelajar, inilah saat yang amat ditunggu-tunggu bagi melangsaikan segala rindu dendam terhadap ibu bapa dan kampung halaman. Tak kurang juga sudah ada yang berkira-kira mencari sumber pendapatan sampingan sebagai bekalan permulaan semester baharu tahun 2011.

Warga Masjid Bukhari mengharapkan agar cuti yang panjang masanya ini diisi dengan perkara-dan aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat. Aktiviti bersama keluarga seperti berkebun, berkelah, melancong dan berziarah bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim bahkan dapat mengisi masa lapang supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat.

Alangkah baiknya jika pelajar-pelajar dapat mengikuti pelbagai kem yang dianjurkan semasa cuti ini seperti kem anak soleh. kem pintar akademik dan bermacam-macam lagi. Agak malang apabila segelintir pelajar memilih bagi menghabiskan masa di pusat-pusat hiburan seperti arked permainan, kafe siber (bermain game) dan di pusat-pusat karaoke. Malang sekali usia muda yang sepatutnya disalurkan bagi membina jati diri agar lebih perkasa terkulai di tempat-tempat tersebut.

Berkata Imam al-Ghazali: "Jika hendak melihat bagaimana bentuk tamadun pada masa akan datang, lihatlah apakah bentuk remaja pada hari ini."

Oleh itu, gunakanlah masa cuti ini dengan sebaiknya. Bagi calon PMR 2010, jangan lupa solat hajat dan melakukan amalan-amalan sunat sementara menunggu keputusan PMR yang akan diumumkan pada hujung bulan 12 nanti.