Jumaat, Julai 10, 2015

PROGRAM HAFAZAN PERDANA

SMKA Keningau baru sahaja berusia hampir 3 tahun. Walau masih bertatih, namun telah banyak kemajuan yang dicapai oleh sekolah ini. Salah satunya ialah penghasilan pelajar yang cemerlang dalam bidang al-Quran.

Program Hafazan Perdana merupakan salah satu program kecemerlangan al-Quran selain daripada hafazan tingkatan. Bermula dari tahun 2014, program ini dijalankan dengan makluman rasmi kepada semua ibu bapa. Hafazan Tingkatan menggunakan silabus KKQ Kementerian Pendidikan, manakala Program Hafazan Perdana bermula daripada Juzuk 1 sehinggalah Juzuk 5. (Setahun 1 Juzuk).

Alhamdulillah, pada tahun ini sekolah meraikan 3 orang pelajar yang berjaya menamatkan hafazan juzuk pertama. Satu permulaan yang baik dan diharapkan dapat diteruskan sehingga mencapai matlamat. Bukanlah mudah untuk menghabiskan hafazan dengan tugasan dan subjek yang berlambak-lambak.

Pelajar-pelajar ini diraikan bersama majlis Khatam Quran pada 9 Julai lalu. Pelajar yang diiringi oleh ibu bapa menerima senaskhah Quran, hadiah wang tunai dan sijil penghargaan.

Jutaan tahniah dan syabas kepada Nur Adibah Md. Zaini yang menghabiskan juzuk 1 bagi kategori puteri. Mohd Imtiyazuddin Md. Khairuddin bagi kategori putera. Manakala Danial Ariff Md. Radzi menyusul bagi kategori sama. Semoga mereka mendapat rahmat Allah dan menjadi penyejuk mata dan hati ibu bapa masing-masing. Berbanggalah bagi ibu bapa mereka!

Semoga dengan majlis ini dapat memberi semangat yang kuat buat pelajar lain bagi menghabiskan hafazan dan melahirkan lebih ramai lagi para huffaz di masa akan datang. Tidak lupa juga jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada para penyumbang yang telah membantu menjayakan lagi program ini. Semoga Allah membalas mereka semua dengan ganjaran pahala dan keberkatan hidup.

 Mohd Imtiyazuddin Md. Khairuddin

 Danial Ariff bersama bapanya En. Md. Radzi

 Penyelaras program memberikan taklimat program

  Antara cenderamata yang diterima peserta, hasil sumbangan orang ramai

PERTANDINGAN MARHABAN DAERAH, KHATAM QURAN DAN IFTOR KUBRO

Pada 9 Julai yang lalu, gabungan 3 program utama, iaitu pertandingan marhaban sekolah-sekolah peringkat daerah Keningau, program khatam Quran dan majlis Iftor Kubro sempena Ihya' Ramadhan telah diadakan. Program bermula pada jam 3 petang dengan pertandingan marhaban yang diadakan di perkarangan Masjid Azhar dan menampilkan 2 pasukan yang bertanding iaitu pasukan SMK Keningau 2 dan pasukan tuan rumah sendiri.

Persiapan untuk majlis Iftor Kubro telah pun bermula sejak pagi lagi dengan proses penyiapan juadah bubur lambuk yang dipimpin oleh Pn. Norhidayah Omar dibantu oleh pelajar-pelajar tingkatan 4. Mereka berjaya menyiapkan hampir 550 set bubur lambuk yang akan digunakan untuk majlis tersebut.

Selepas selesai pertandingan marhaban, majlis Khatam Quran pula dijalankan. Para peserta yang terdiri daripada pelajar tahun akhir (tingkatan 5) sebagai penghormatan kepada mereka. Majlis yang dipimpin oleh Danial Ariff Md. Radzi diiringi semua pelajar tingkatan 5 yang berjumlah 32 orang. Majlis diakhiri dengan doa khatam Quran.

Sesudah itu, majlis diteruskan dengan acara penyampaian sijil dan hadiah kepada peserta marhaban dan juga anugerah khas Hafazan Perdana dan sumbangan kepada anak-anak yatim dan miskin. Tahniah kepada pasukan SMKA Keningau kerana telah menjuarai pertandingan Marhaban Sekolah-sekolah peringkat daerah Keningau dan akan mewakili daerah ke pertandingan peringkat negeri yang Insya Allah akan diadakan di PLKN Ovai, Papar. Hadiah disampaikan oleh Tuan Zamree Kautis, pegawai Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Majlis diakhiri dengan jamuan Iftor Kubro oleh para tetamu dan pelajar-pelajar. Semoga program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

 Set Pentas Marhaban

 Pasukan tuan rumah memulakan persembahan dengan berzanji

 Sesi marhaban

 Pasukan SMK K2

 Barisan Hakim 

 Khalifah Khatam Quran

 Barisan peserta Khatam

 Pelajar tahun akhir!

 VIP Khatam Quran



 Majlis penutupan Marhaban

 Sumbangan raya

Ketua hakim menerima cenderamata

 Johan marhaban

 Iftor Kubro

Isnin, Julai 06, 2015

KEM TAHSIN SOLAT TING. 1

Pada 27 Jun yang lalu, satu program Tahsin Solat anjuran BADAR telah dilaksanakan. Peserta yang terlibat ialah semua pelajar tingkatan 1 sebagai peserta, manakala para Nuqaba' dan pengawas BADAR bertindak sebagai fasilitator.


Para Fasilitator sedang memberi tunjuk ajar kepada para peserta

 Penekanan program ini lebih kepada kekemasan rukun solat dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan pembaikan seperti masbuk, bacaan qunut dan konsep berjamaah. Peserta-peserta kali ini agak mudah dikendalikan disebabkan mereka telah melalui program KBS iaitu Kem Bestari Solat semasa di sekolah rendah lagi. Hanya kesalahan-kesalahan kecil yang perlu diperbaiki melalui program ini.

Semoga mereka semua menjadi pelapis generasi bertaqwa seperti yang dituntut dalam doa, "Ya Allah yang Tuhan kami, Kurniakanlah kepada kami isteri-isteri dan generasi (anak-anak) sebagai penyejuk mata kami, dan jadikanlah mereka ini sebagai pemimpin bagi orang-orang bertaqwa." Jutaan tahniah kepada semua pihak terutama pihak pentadbir dan fasi yang sabar melayan kerenah adik-adik. Semoga usaha ini mendapat keberkatan dan rahmat dari Allah Ta'ala.

ZIARAH RAMADHAN 1436

Satu keunikan di sekolah ini ialah, setiap kali menjelangnya Ramadhan, terdapat satu program yang khusus dilaksanakan, iaitu ziarah Ramadhan. Semenjak sekolah ini ditubuhkan, sudah 3 kali program ini dilaksanakan. Untuk edisi pertama, ziarah Ramadhan dilakukan di Kampung Mansiat, dalam daerah Sook Keningau. Tahun lalu dilaksanakan di Kampung Murni Nabawan dan pada edisi kali ini dilaksanakan di Kampung Lanas, Sook.



Laluan sesak di pekan Keningau petang Ramadhan

Pemilihan lokasi ziarah Ramadhan ini biasanya ditentukan melalui kaedah kesukaran penduduk setempat iaitu membolehkan sumbangan dilakukan pada masa tersebut. Dan juga lokasi yang dipilih ada keterlibatan pelajar SMKA Keningau yang menjadi penduduk asal kampung tersebut.

Laluan lancar menuju lokasi

Ziarah kali ini disertai seramai 20 orang guru dan 10 pelajar. Rombongan bertolak pada 3 Julai jam 3 petang dan tiba di lokasi pada jam 5 petang. Setibanya di lokasi tersebut, rombongan Ziarah Ramadhan SMKA Keningau disambut meriah oleh penduduk kampung dan wakil pemimpin setempat.

Suasana Kampung Lanas yang mendamaikan

Surau Kampung Lanas

Program bermula pada jam 5.45 petang dengan pemberian sumbangan kepada fakir miskin dan ibu tunggal. Sumbangan diperoleh daripada derma ikhlas warga sekolah dan juga agensi-agensi seperti Bank CIMB Islamic, Bank Rakyat dan orang perseorangan. Selepas penyerahan sumbangan tersebut, satu pengisian tazkirah sementara menunggu majlis berbuka puasa yang disampaikan oleh Ustaz Sulaimin Musinin. Sesudah majlis berbuka puasa, solat maghrib, isya dan taraweh diimamkan oleh Ustaz Yusuf Ali dan anaknya, seorang pelajar IPT yang bercuti semester. Majlis diakhiri dengan jamuan moreh.


Sebahagian peserta Ziarah Ramadhan kali ini yang terdiri daripada guru, ahli keluarga dan pelajar


Jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk wakil pemimpin setempat iaitu encik Charles, pengerusi Unit Agama Zon Trus Madi dan pengerusi surau Kampung Lanas. Rombongan bertolak balik tepat jam 10 malam dan selamat tiba di SMKA Keningau lebih kurang 1 setengah jam kemudian. Suasana dan persekitaran Kampung Lanas sangat mengujakan dan menjadi kenangan indah bagi peserta yang terlibat. Semoga kita dipertemukan lagi pada ziarah Ramadhan yang akan datang.

 


 Mengabadikan kenangan terindah