Petikan dari Hmetro.com
APA guna dipanggil kemajuan dan kemodenan sekiranya pemikiran, akhlak, cara hidup dan sifat mulia kemanusiaan semakin terhakis?
Kemajuan teknologi contohnya sepatutnya menjadikan sesuatu maklumat disebar untuk kebaikan tetapi disalah guna untuk tujuan yang salah.
Dalam mengejar kemajuan, akhlak murni perlu dijaga. Maka amat perlu sekali kita menilai kembali erti kemodenan yang sedang kita impikan.
Kemodenan yang hakiki ialah kebebasan akal menerawang mengenali. Cukup membimbangkan jika kita menikmati kemajuan dengan minda dan pemikiran yang beku dan jumud.
Hidup ini tertakluk kepada peraturan yang sarat dengan nilai mulia sejagat, sesuai di semua tempat di samping hidup berpandukan peraturan yang tahan diuji sepanjang zaman.
Bukan saja bertahan, lama tapi berjaya menyisihkan cara hidup buatan manusia yang amat terbatas; sekejap ada dan sekejap tidak ada, kadang-kadang putik dan kadang-kadang berulat serta buruk.
Lebih mendukacitakan, adakah kita dipanggil moden sekiranya pemikiran masih dibayangi perkara dengan sial dan majal terhadap sesuatu yang langsung tidak punya kuasa?
Bukan sekadar terbelenggu, tetapi sudah percaya dan sudah termasuk sebagai rujukan dan penentuan dalam membuat sesuatu sebarang keputusan.
Bayangkan ada yang percaya kepada nombor membawa sial dan majal.
Dalam hal ini, Imam Bukhari pernah meriwayatkan daripada Rasulullah, yang bersabda yang bermaksud: "Tiada sial dan majal dalam Islam".
Dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Tiada sial pada sesuatu burung".
Malah, mempercayai sial dan majal membawa kepada syirik sebaliknya Allah menggantikan dengan konsep tawakal.
Adakah wajar seseorang yang bersiap untuk ke tempat temuduga tiba-tiba sampai ke tempat itu, dia mendapati bilik temu duga berkenaan bernombor 13 lalu tidak meneruskan sesi temu duga terbabit kerana merasakan nombor itu membawa sial.
Begitu juga dengan perkahwinan, ada yang percaya berkahwin pada bulan Safar membawa sial. Ia amat bercanggah dengan prinsip agama.
Sesetengah daripada kita tidak jadi hendak membeli rumah semata-mata kerana dianggap sial. Dalam suasana payah hendak mendapat kerja dan pasangan, ada yang percaya dengan memakai gelang dia akan memberi 'semangat'.
Tidak kurang juga yang percaya kepada kuasa bunga dengan nama 'mandi bunga'. Bunga untuk hiasan dan kecantikan bukannya ada kuasa luar biasa.
Islam tidak pernah menolak kemajuan yang berasaskan kajian dan penemuan moden. Perubatan moden diharuskan. Namun begitu kuasa penyembuh hanyalah pada tangan Allah.
Doktor hanya merawat dan berikhtiar tetapi yang menyembuh hanyalah Allah. Kita boleh memilih doktor mana yang serasi untuk merawat kita, tetapi bukan dia yang menyembuh.
Jika betul ikhtiar dan ubat bertepatan dengan kehendak Allah maka sembuhlah apabila sampai masanya.
Menjadi kesalahan besar sekiranya seorang gadis atau wanita sanggup berbuat apa sahaja, terpaksa menyerah maruah dan diri demi menagih cinta dari kekasihnya. Fikirnya jika tidak ikut kehendak si dia nanti tidak dicintai pula dan ada risiko ditinggalkan.
Yang menentukan jodoh bukannya manusia. Manusia hanya merancang kerana yang menentukan adalah Allah.
Kekolotan minda akidah remaja inilah menyebabkan berlakunya pelbagai masalah yang akhirnya mereka sendiri yang merana.
Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan, amalan memberi rasuah membawa syirik. Ia bukan sekadar dosa besar, sebab yang membawa kepada syirik kerana anggapan pemberi rasuah 'jika aku tidak beri, maka pasti tidak dapat'.
Ini yang rosak iman kerana anggapan pemberi rezeki sudah beralih daripada Allah kepada manusia. Bagi melariskan kedai perniagaan pekedai mula guna pelaris termasuk ayat seribu dinar.
Peniaga mungkin terlupa bagaimana nabi menjalankan perniagaan, untung besar tetapi tidak guna pelaris. Begitu juga sahabat nabi, Abd Rahman bin Auf buat untung besar tanpa menggantung apa-apa ayat.
Tiada rahsia khusus kerana kejayaan sesuatu itu adalah berpunca daripada ilmu, usaha keras, kemahiran serta tawakal kepada Allah.