Assalamualaikum. Keputusan PMR 10 telah pun menunjukkan hasilnya. Bagi yang berjaya, jutaan tahniah dan syabas. Bagi yang kurang berjaya, ini bukanlah satu pengakhiran.
Adapun yang ingin disampaikan pada kali ini ialah berkenaan hasil selepas keputusan diumumkan. Ramai yang gembira apabila dapat mencapai target.Tak kurang juga ada yang kecewa kerana gagal mencapai apa yang diharapkan. Ada juga yang 'bersahaja', mungkin telah menjangka akan keputusan tersebut.
Pasti yang cemerlang terfikir-fikir apa yang perlu dilakukan selepas ini. Menyambung di sekolah 'elit' seperti SBPS, MRSM atau kekal sahaja di SEMEKAR? Pelbagai pihak akan memberi cadangan dan tak kurang mendesak kepada pelajar yang cemerlang. Situasi ini akan menimbulkan konflik kepada pelajar tersebut.
Bagi yang kurang berjaya, timbul perasaan rendah diri dan merasakan diri tidak setaraf kepada yang cemerlang. Hasilnya, akan terbentuk satu golongan 'geng biasa-biasa saja'. Segan untuk bergaul dengan pelajar cemerlang. Hal ini akan berlau apabila pelajar-pelajar cemerlang akan ditempatkan di kelas yang baik seperti sains tulen. Berlakunya sikap: budak sains memang pandai. kami ini biasa-biasa saja.
Satu lagi gejala yang berlaku apabila pelajar PMR naik kelas tingkatan 4 ialah perubahan sikap malas belajar. Kebiasaannya masyarakat melabelkan tingkatan 4 sebagai tahun berbulan madu. Pada waktu inilah pelbagai masalah akan timbul seperti penurunan prestasi pelajaran, budaya 'couple' dan macam-macam lagi.
Yang cemerlang akan bersikap santai, manakala yang biasa-biasa saja akan berterusan sikap rendah diri. Katanya, penat belajar selama 3 tahun sebelum PMR, inilah masanya hendak berehat seketika. Hasilnya ramai yang kecundang sewaktu SPM diumumkan. Sebelum ini terdapat pelajar yang cemerlang dalam PMR tetapi kecundang dalam SPM.
Oleh itu sedarlah, bahawa PMR tidak boleh dijadikan ukuran bahawa kecemerlangan itu akan berterusan. Hanya dengan usaha yang betul akan membolehkan kita akan sentiasa mendapat kecemerlangan. Bagi yang cemerlang, teruskan usaha dan jangan berhenti. Bagi yang biasa-biasa saja, ambil iktibar dan rangka strategi baru untuk kecemerlangan SPM kelak.
Selamat menempuh alam menengah atas wahai pelajar!