Tak lama lagi semester 2 akan menjelma. Apakah semua pelajar dan warga SEMEKAR sudah siap sedia menghadapinya?. Bagi pelajar-pelajar, semester 2 ini merupakan saat-saat yang penting bagi menguji kemampuan dalam pelajaran melalui beberapa siri peperiksaan yang bakal berlangsung.
Warga Masjid Bukhari SEMEKAR seperti biasa akan sentiasa memastikan dan meningkatkan tahap pengamalan kerohanian pelajar-pelajar berada dalam keadaan yang terbaik. Beberapa kelemahan yang terjadi pada semester lalu dan sebelumnya wajarlah dijadikan iktibar dan teladan. Akhir sekali, kita semua hendakkan pelajar-pelajar memahami peraturan, bukannya mematuhi peraturan secara membabi buta. Pelajar-pelajar kena faham kenapa perlu bangun pagi seawal 4 pagi, kenapa perlu solat berjamaah di masjid setiap waktu, memakai pakaian yang sesuai mengikut program tertentu seperti ketika makan dan menjalani prep.
Pelajar-pelajar hendaklah sentiasa ingat bahawa kemudahan asrama hanya diberikan kepada mereka yang hendak belajar dan memajukan diri. Sekiranya tidak bersedia untuk mengikuti segala program dan peraturan yang disediakan, maka tepuk dada tanyalah selera. Kerajaan kita telah menghabiskan jutaan ringgit bertujuan untuk memajukan pelajar-pelajar agar tidak ketinggalan dengan pelajar-pelajar arus perdana. Lihat contoh ini:
Subsidi seorang pelajar per tahun =
makanan : RM9.60 x 30 hari x 10 bulan = RM 2880.00
buku teks: purata 1 buku RM 10.00 x 10 buku (PMR) = RM100.00
bantuan pakaian seragam : RM 80.00
biasiswa : RM 700.00 (BKP)
Jumlah keseluruhan: RM 3760.00 setahun!
Jumlah bantuan ini hampir menyamai kos pengajian Ijazah Sarjana Muda 2 semester.
Haruslah diingat bahawa setiap pelajar mempunyai amanah dan misi untuk dipikul. Harapan masyarakat agar pelajar SEMEKAR dapat menunjukkan kemampuan dalam mencapai kemajuan dan tidak melakukan kesalahan-kesalahan disiplin yang akan merencatkan prestasi akademik. Segala bantuan tersebut datangnya dari kerajaan. Kerajaan mendapat dana melalui cukai. Dan sebahagian cukai itu datangnya daripada ibubapa pelajar-pelajar yang sebahagian pelajar mungkin tidak memahaminya.
Pihak sekolah berkali-kali menegaskan bahawa telefon bimbit merupakan bahan larangan. Akan tetapi pihak sekolah telah melonggarkan sedikit peraturan dengan membenarkan penggunaan telefon bimbit dengan syarat hendaklah didaftar dna disimpan kepada warden. Namun begitu, ramai pelajar tidak mengambil peluang dengan kelonggaran ini dan terus menggunakannya seolah-olah tidak rasa bersalah. Di manakah rasa tanggungjawab dan amanah yang dipikul ini? Takkanlah di depan Allah hendak dijawab kemudahan telefon awam di sekolah yang tidak sempurna? Semua peraturan merupakan amanah dan setiap amanah akan dipersoalkan semula di akhirat.
Pihak ibu bapa juga hendaklah memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada pihak sekolah. Sebahagian ibu bapa kurang memberi kerjasama dan lebih memihak kepada anak dalam satu-satu kejadian. Bahkan, terdapat ibu bapa yang menyerang pihak sekolah serta membuat tuduhan yang bermacam-macam. Hal ini akan menjadikan anak lebih berperasaan hebat dan naik lemak. Menurut pengalaman penulis, guru-guru akan kurang memberi perhatian kepada anak tersebut disebabkan perangainya yang membuatkan guru-guru rasa kurang senang, akhirnya pengajaran pun berlaku ala kadar sahaja, berbeza dengan pelajar yang sentiasa menjaga disiplin, guru-guru akan memberikan perhatian yang sepenuhnya.
Ada satu kisah, penulis melakukan pemeriksaan rutin ketika prep malam. Singgah di satu kelas, terdapat seorang cikgu (cikgu ini sebenarnya amat berdedikasi) sedang melakukan aktiviti tutorial kepada pelajarnya seramai... 5 orang! Penulis pun rasa hairan lantas bertanyakan kepada cikgunya kenapa hanya sebegini ramainya pelajar yang diajar. Cikgu itu menjawab bahawa sebahagian pelajar tidak minat mengikuti kelas tambahan. Peristiwa ini berlaku pada tahun lalu dan masih segar sehingga sekarang.
Kelas tambahan di sekolah ini diberikan PERCUMA. Jika sekolah bandar, ianya berbayar. Atas keprihatinan cikgu tersebut, dengan rela hati mengorbankan waktu REHATnya demi kemajuan anak-muridnya. Malangnya bila penulis mencari pelajar yang tidak menghadiri kelas cikgu tersebut, pelajar tersebut sedang BEREHAT-REHAT di suatu tempat. Dan alasanya, terlupa. Yalah, setiap hari lupa saja.
Satu lagi perkara yang perlu diambil perhatian ialah budaya couple. Penulis anggap budaya ini telah mencapai tahap kritikal. Kemuncaknya, beberapa kali pelajar kita ditangkap khalwat. Penulis rasa sedih sebab sebelum penulis berada di sekolah ini, penulis menghadapi masalah pemulihan akidah di sekolah penulis sebelum ini yang merupakan sekolah SMK harian. Akan tetapi di sekolah agama ini penulis menghadapi pula masalah pemulihan akhlak.
Justeru itu, pelajar-pelajar sekalian, berubahlah ke arah yang lebih positif agar menjadi pelajar yang dihormati dan disanjung masyarakat. BERUBAHLAH DI SEMESTER 2!
p/s - sem 2 hampir berakhir, jadi di manakah kedudukan kita? PMR dah selesai, SPM dan STPM bakal menyusul! Sedarlah sebelum terlambat!