Khamis, Jun 17, 2010

Jagalah kebersihan tandas masjid

Dalam menguruskan hal ehwal masjid ini, selain dari menguruskan bahagian dalaman dan luaran masjid supaya indah mata memandang dan damai terasa, kebersihan tandas juga amat penting di dalam sesebuah institusi masjid. Pengalaman penulis, ramai pengunjung datang ke masjid, sudah pasti akan melawat ke tandas masjid terlebih dahulu samada untuk melakukan qada’ hajat atau sekadar mengambil wudhu’ sahaja.
Tandas yang bersih melambang keindahan Islam yang amat penting menjaga kebersihan. Sememangnya sedih apabila sesebuah masjid atau surau tidak dapat menguruskan tandas dan bilik wudhu’ dengan sempurna. Lawatan penulis ke beberapa masjid dan surau, selalunya tandas masjid yang berada di kawasan luar Bandar (kampung) sememangnya amat daif dan tidak terurus. Ditambah lagi dengan mentaliti sebahagian masyarakat yang tidak menghargai dan menjaga kebersihan tandas masjid. Kadang-kadang mereka ini menjadikan tandas sebagai pusat ‘singgah lalu’ mereka sahaja.
Tandas masjid yang berada di kawasan bandar sememangnya terjaga dan terurus. Hal ini mungkin disebabkan mereka mempunyai petugas yang khusus untuk membersihkan tandas. Ini tidak serupa dengan apa yang berlaku di kawasan luar bandar yang serba serbi kekurangan. Namun begitu, itu bukanlah merupakan alasan yang sesuai bagi mengelakkan diri daripada terlepas tanggungjawab menjaga kebersihan tandas. Berbeza dngan tempat ibadat bukan Islam yang memiliki pengurusan yang teratur dan sistematik.
Sudah sampai masanya masyarakat Islam merubah sikap dan minda dalam menjadikan tandas masjid sebagai tempat yang bersih dan selesa sekaligus dapat memartabatkan Islam sebagai agama yang suci dan murni.
P/S: Umat Islam sepatutnya menghulurkan bantuan (sedekah) kepada masjid, sekurang-kurangnya ada juga dana masjid untuk ‘maintain’ kebersihan tandas.

Ahad, Jun 13, 2010

BULAN REJAB BULAN MULIA

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan. Ia adalah bulan ketujuh di dalam kalendar Islam dan merupakan bulan yang sangat dimuliakan di dalam Islam.
Banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang telah diriwayatkan oleh para sahabat Baginda mengenai kelebihan di bulan Rejab.

Bercakap tentang bulan ini maka ianya akan berkait rapat dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj, iaitu satu peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w semasa menerima kefarduan solat lima waktu. Firman Allah dalam surah Al Isra’ ayat1 –

سـُبْحَانَ الَذِي أَسـْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا ًمِنَ المَسـْجِدِ الحَرَامِ إِلَى المَسـْجِدِ الأَقْصَى الَذِيْ بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءَايَاتِناَ

“Maha Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Masjid Al Aqsha yang Telah kami berkahi sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. "

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj berlaku pada tahun yang ke sebelas dari kenabian Rasulullah iaitu dua tahun sebelum hijrahnya Rasulullah ke Madinah. Tahun kesebelas ini juga dikenali sebagai “Tahun Kesedihan “ di mana Rasulullah telah kehilangan seorang insan yang telah banyak berkorban dan membantu Baginda dalam menyebarkan agama Allah.

Isra’ dalam bahasa Arab bermaksud berjalan pada waktu Malam manakala Mi’raj adalah naik ke langit . Dalam ayat tersebut menceritakan bahawa Allah s.w.t. telah memperjalankan Rasulullah s.a.w. di waktu malam hari dari masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin yang bermula selepas solat Isyak dan berakhir sebelum solat subuh malam yang sama.
Bagi kaum kafir Quraisy, mereka tidak boleh menerima sama sekali dakwaan Rasulullah ini kerana agak mustahil perjalanan yang jauh dan mengambil masa lebih kurang 40 hari boleh dicapai hanya dengan beberapa jam sahaja.

Orang-orang kafir cuba menjadikan isu ini sebagai modal untuk mereka mengatakan bahawa Rasulullah itu gila, tidak siuman dan sebagainya tuduhan-tuduhan yang boleh menjatuhkan imej Rasulullah s.a.w. Kalau kita perhatikan dalam ayat di atas, Allah menjelaskan bahawa Rasulullah diperjalankan bukannya Rasulullah berjalan. Kenderaan yang Rasulullah guna adalah seekor burung dari syurga ( Buroq ) yang bergerak laju sepantas kilat. Jadinya tidak timbul masalah Rasulullah boleh ke Masjid Al-Aqsa dan kembali semula ke Mekah dalam masa yang singkat iaitu sebelum waktu Subuh pada malam yang sama.

Sesungguhnya orang orang yang beriman sudah pasti akan meyakini peristiwa ini dan akan mengatakan bahawa ini adalah dari tanda-tanda kekuasaan Allah.
Dalam peristiwa ini juga Allah telah menunjukkan kepada kita betapa orang yang paling gembira dan menyanjungi Rasulullah ketika Nabi dilahirkan (Abu Lahab: bapa saudara Nabi ) tiba-tiba telah mencerca dan menempelak Nabi dengan berkata:

“ Celakalah Kau Muhammad, Adakah kerana ini engkau mengumpulkan kami disini.”

Dengan kata kata ini maka turunlah surah Al-Lahab yang mencela kembali Abu Lahab yang maksudnya berbunyi:

" Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa (1) Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan. (2) Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak (3) Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (4) Yang di lehernya ada tali dari sabut " (5)

Selain dari peristiwa Isra’ dan mi’raj ada lagi peristiwa-peristiwa besar yang berlaku di bulan Rejab iaitu

1) HIJRAH PERTAMA KE HABSYAH

Ianya berlaku kerana pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah s.a.w dan mereka yang beriman kepada Rasulullah s.a.w pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
Di antara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Uthman r.a. dan isterinya Ruqayyah yang merupakan anak Rasulullah s.a.w. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih kerana rajanya ( Raja Najasyi ) dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2) PEMBEBASAN KOTA SUCI BAITUL MAQDIS DARI TENTERA SALIB

Baitulmaqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab r.a. di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan pepecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abbasiyah, Tentera Salib (Kristian) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitulmaqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitulmaqdis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintah Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitulmaqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salahuddin Al-Ayubi. Beliau telah menawan kembali Baitulmaqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H kota suci ini telah jatuh ke tangan tentera Yahudi Laknatullah alaihim dan mereka bercita-cita untuk merobohkan Masjid Al Aqsa.

3) LAHIRNYA IMAM AS -SYAFIE R.A.

Nama sebenar Imam As-Syafie r.a. ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghazza, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia fiqh. Diantara peninggalan Imam As-Syafie r.a. yang menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab Al-Umm.