Khamis, Julai 01, 2010

SUKAN OH SUKAN!

Sekarang ini merupakan musim sukan sekolah. Sana sini sekolah mengadakan sukan bagi mengcungkil bakat dan ‘kekuatan’ anak-anak murid melalui pelbagai disiplin dan acara yang ditetapkan.

Banyak isu yang timbul bila kita menjalankan acara sukan ini. Dari kemudahan yang kurang berkualiti sehinggalah sensitiviti dalam hukum hakam. Sebagai seorang muslim, memang besar hasrat bagi melihat sukan tersebut dijalankan dalam suasana menepati kehendak syariah Islamiah juga merupakan antara cabaran yang paling besar dalam bidang pendidikan.

Pengalaman penulis di sekolah pertama dahulu (SMK harian) sememangnya mencabar iman dan takwa. Apatah lagi dilantik sebagai ketua guru rumah sukan pada waktu itu. Perasaan berbelah bagi antara kejayaan atlit yang dididik dengan tuntutan hukum agama. Bermacam-macam alasan yang timbul seperti pakaian menutup aurat akan menyebabkan prestasi sukan akan terjejas. Bukan sahaja menghadapi kerenah atlit tetapi juga stigma daripada sebahagian guru dan juga masyarakat menyumbang terhadap permasalahan ini.

Berada di SMKA ini bukan juga noktah dan penamat bagi permasalahan ini. SMKA diharap boleh menjadi contoh kepada SMK harian yang lain bahawa sukan juga boleh dijalankan walaupun dengan pakaian yang menutup aurat. Masalah kekurangan dana seperti membeli kasut olahraga merupakan cabaran utama sehingga menyebabkan atlit perempuan berkaki ayam dan auratnya terdedah. Agak lucu juga sebahagian atlit perempuan yang hanya berlari sambil memakai stokin sahaja semata-mata hendak memastikan auratnya sentiasa terjaga. Namun begitu. Penghargaan seharusnya diberikan kepada mereka yang berusaha untuk menutup aurat walaupun menyedari risiko tewas dalam acara yang disertainya.

Juga kepada pegawai-pegawai kejohanan, contoh yang terbaik adalah penting bagi memastikan apa yang diusahakan (baca: diperjuangkan) akan memudahkan proses mencapai matlamat sesuatu perkara yang akan mendapat keredhaan Allah. Sekiranya dalam SMKA pun tidak selesai natijahnya, bagaimana hendak memperkembangkan contoh dan tauladan terhadap pihak luar? Islam tidak menghalang kegiatan sukan kerana ianya mendatangkan faedah dan baik untuk kesihatan juga merupakan sebahagian daripada bentuk ibadah asalkan ia selari dengan syariah.

Sekali lagi, sememangnya menjadi harapan agar sukan terutamanya sukan sekolah dapat dijalankan mengikut lunas-lunas Islam supaya ia tidak akan menjadi: Yang dikejar (pahala) tak dapat yang dikendong (akidah) beciciran!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan