Isnin, Disember 13, 2010

Mendekati 10 Muharram (16 Disember)

Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab: asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharram.
Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Muhammad s.a.w.

Menurut tradisi masyarakat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. melakukan puasa Asyura sejak di Makkah lagi memandangkan puasa Asyura merupakan amalan biasa masyarakat tempatan. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda turut mendapati yang kaum Yahudi turut berpuasa pada hari Asyura (atau bagi mereka adalah Yom Kippur yang juga pada hari kesepuluh). Ketika itu, baginda mengesahkan dan mensyariatkan puasa sehingga ia menjadi satu kewajiban kerana baginda merasakan masyarakat Islam lebih dekat dengan Nabi Musa. Ibn Hajar al-asqalani, dalam pernyataannya terhadap Sahih Bukhari mengatakan yang syariat puasa telah dijadikan kepada bulan Ramadhan setahun kemudian. Kini, masyarakat Islam melakukan puasa pada 10 Muharram sebagai amalan sunat dan bukan kewajiban.

Masyarakat Islam turut percaya akan berlakunya kejadian besar ketika 10 Muharram:
• Hari pertama Allah menciptakan alam.
• Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
• Hari pertama Allah menurunkan hujan.
• Allah menjadikan 'Arasy.
• Allah menjadikan Luh Mahfuz.
• Allah menjadikan Malaikat Jibril.
• Nabi Adam a.s. dicipta.
• Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah.
• Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit.
• Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
• Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud.
• Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
• Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun.
• Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut.
• Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.
• Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
• Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s..
• Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
• Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah.
• Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
• Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda.
• Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh tentera khalifah Bani Umaiyyah iaitu Khalifah Yazid.


Perkara sunat dilakukan pada hari Asyura
1. Melapangkan masa / belanja anak dan isteri
2. Memuliakan fakir miskin
3. Menahan marah
4. Menunjukkan jalan yang lurus/membetuli orang sesat/orang yang salah(terpesong aqidah(tauhid) dan akhlaknya)
5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim(menghormati dan memuliakan mereka)
6. Bersedekah
7. Memelihara kehormatan diri
8. Mandi Sunat dengan lafaz niatnya: "Sahaja aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala."
9. Bercelak cara Rasulullah
10. Membaca Qulhuwallah(Surah Al-Ikhlas) hingga akhir seribu kali
11. Sembahyang sunat empat rakaat dengan lafaz niat: "Sahaja aku sembahyang sunat hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala. Pada rakaat pertama dan kedua selepas al-Fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.
12. Menjamu orang berbuka puasa: Itu yang menjadi tradisi masyarakat Nusantara iaitu membuat bubur Asyura.
13. Puasa Sunat Asyura dengan niatnya dibaca: Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura kerana Allah Taala.

Rujukan
1. Sahih Bukhari 1900; Sahih Muslim 1130
2. Javed Ahmad Ghamidi. Mizan, The Fast, Al-Mawrid
3. Ayyatullahi, Sayyid Mehdi (2005). Sayyidina Husain bin Ali bin Abi Thalib. Jakarta: Penerbit Al-Huda.

(Dipetik dan diubahsuai dari Wikipedia)

Selasa, Disember 07, 2010

Alhamdulillah!

Pengetua menerima replika cek 

Setinggi Kesyukuran dirafakkan kepada Allah kerana bersempena Maal Hijrah 1432 ini, Masjid al-Bukhari telah mendapat pengiktirafan tertinggi setakat ini. Pengiktirafan yang dimaksudkan ialah Anugerah Surau Cemerlang Maal Hijrah kategori sekolah/IPT anjuran Kerajaan Negeri Sabah melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS). Usaha sekian lama akhirnya telah membuahkan hasil. Pengiktirafan ini membuktikan bahawa Masjid al-Bukhari telah mengalami perubahan dan dibuktikan dengan pengiktirafan tersebut.

Pihak Masjid al-Bukhari merakamkan sejuta penghargaan kepada semua pihak yang telah memastikan perubahan ini terlaksana. Kredit diberikan terutama pihak pentadbiran (AJK tertingg Masjid) yang sentiasa memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada AJK pentadbiran Masjid. Juga kepada ahli 'kariah' masjid yang telah menggunakan masjid ini dengan sebaiknya. Pastikan kecemerlangan ini diteruskan lagi bagi memastikan peranan masjid sebagai wadah pembentuk generasi Islam khususnya pelajar sekolah ini.

Isnin, Disember 06, 2010

Selasa, November 30, 2010

Apa yang perlu dilakukan?

Cuti hujung tahun menjelma lagi. Bagi pelajar, inilah saat yang amat ditunggu-tunggu bagi melangsaikan segala rindu dendam terhadap ibu bapa dan kampung halaman. Tak kurang juga sudah ada yang berkira-kira mencari sumber pendapatan sampingan sebagai bekalan permulaan semester baharu tahun 2011.

Warga Masjid Bukhari mengharapkan agar cuti yang panjang masanya ini diisi dengan perkara-dan aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat. Aktiviti bersama keluarga seperti berkebun, berkelah, melancong dan berziarah bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim bahkan dapat mengisi masa lapang supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat.

Alangkah baiknya jika pelajar-pelajar dapat mengikuti pelbagai kem yang dianjurkan semasa cuti ini seperti kem anak soleh. kem pintar akademik dan bermacam-macam lagi. Agak malang apabila segelintir pelajar memilih bagi menghabiskan masa di pusat-pusat hiburan seperti arked permainan, kafe siber (bermain game) dan di pusat-pusat karaoke. Malang sekali usia muda yang sepatutnya disalurkan bagi membina jati diri agar lebih perkasa terkulai di tempat-tempat tersebut.

Berkata Imam al-Ghazali: "Jika hendak melihat bagaimana bentuk tamadun pada masa akan datang, lihatlah apakah bentuk remaja pada hari ini."

Oleh itu, gunakanlah masa cuti ini dengan sebaiknya. Bagi calon PMR 2010, jangan lupa solat hajat dan melakukan amalan-amalan sunat sementara menunggu keputusan PMR yang akan diumumkan pada hujung bulan 12 nanti.

Sabtu, November 20, 2010

KELEBIHAN ZULHIJJAH

(Petikan Harian Metro Online)
BULAN Zulhijjah, khususnya 10 hari awalnya, adalah peluang kedua selepas Ramadan untuk umat Islam mendapatkan gandaan keredaan serta keampunan Allah SWT selain daripada pahala amalan.

Rasulullah SAW menyebut: “Sebaik-baik hari di dunia adalah 10 hari itu.” (Riwayat al-Bazzar: Albani)

Ini juga dinyatakan dalam firman Allah SWT bahawasanya: “Demi Fajar dan hari-hari yang 10.” (Al-Fajr, 1)

Majoriti ulama menyatakan 10 hari itu merujuk kepada hari pertama hingga 10 Zulhijjah dan bukan 10 terakhir Ramadan. (Zad Al- Ma’ad, Ibn Qayyim)


Ia juga disebut oleh baginda Rasulullah SAW bahawasanya: “Tiada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT untuk hambanya memperbanyakkan amalan daripada 10 hari ini.” (Riwayat Al-Bukhari)


Sebagaimana kita sedia maklum, beberapa amalan digalakkan untuk sepanjang 10 hari terawal Zulhijjah yang diketahui sangat besar pahalanya, seperti:

1. Berzikir.

Iaitu dengan memperbanyakkan zikir seperti ‘Subhanallah’, ‘Alhamdulillah’, ‘La ilaha Illa Allah’ dan ‘Allahu Akbar’. Ia bersumber daripada hadis riwayat At-Tabrani yang diakui sahih oleh Imam Al-Munziri di mana Allah SWT menyebut ertinya: “Supaya mereka menyaksikan pelbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu.” (Al-Hajj, 28)

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ adalah 10 hari Zulhijjah ini dan ini juga adalah pendapat majoriti ulama.

2. Berpuasa.

Sangat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah bagi orang yang tidak menunaikan haji. Hari Arafah (9 Zulhijjah) pula hari terbaik untuk berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda mengenai kelebihan Hari Arafah, bahawasanya: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih daripada Hari Arafah.” (Riwayat Muslim)

Baginda juga menyatakan puasa itu menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

3. Melakukan amalan bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan lain-lain.

Ia semuanya termasuk di dalam umum hadis yang menunjukkan ia sangat disukai oleh Allah SWT.

4. Menjauhi maksiat dan masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih teragak-agak dan menangguhnya.

Sungguh biadap jika umat Islam bersuka ria dengan melampaui batas haram pada hari yang sangat agung di sisi Allah SWT ini.

Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarilah bahawa hidup ini sementara dan seluruh keseronokannya adalah tipu daya semata-mata.

5. Bertakbir.

Ibn Abi Shaibah menyebut bahawa Saidina Ali menyatakan, permulaan takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga tasyrik.

6. Melakukan sembelihan korban.

Allah SWT berfirman: “dan berdoalah dan berkorban,” dan “Sesiapa yang membesarkan syiar Allah (berkorban) maka ia adalah daripada tanda ketakwaan hati.” (Al-Hajj, 32)

Hadis Riwayat At-Tarmidzi, Abu Daud, Gharib menyebut: “Tiadalah amalan anak Adam yang lebih disukai Allah SWT pada hari korban kecuali berkorban (dengan menyembelih binatang).”

Hukum berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama, termasuk sahabat besar seperti Abu Bakar As-Siddiq RA, Umar Al-Khattab RA dan Ibn Mas’ud RA berpendapat ia WAJIB bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Ia berdasarkan hadis sahih riwayat Muslim bahawasanya: “Barang siapa yang ingin menyembelih (berkorban), dan sudah masuk 10 awal Zulhijjah, maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban dilaksanakan.” (Muslim, 3/39)

Justeru, majoriti ulama dari mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun, ia tidak termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah RA pernah meriwayatkan beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan korban.

Aisyah RA menyebut bahawa tiadalah Rasulullah SAW mengharamkan apa- apa (ketika menunggu masa untuk menyembelih) hinggalah sampai waktu sembelihan.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan kewajipan lain.

Tidak dibenarkan berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang disembelih dari pasar, lalu disedekahkan atas niat korban.

Tatkala itu, ia dianggap sedekah biasa saja dan bukan korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha.

Pahala korban jauh lebih hebat daripada bersedekah harganya saja. Ia adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.

Firman Allah SWT: “Daging unta dan darahnya sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj, 37)

Untuk melakukan korban, binatang yang sebaik-baiknya ialah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri dan kambing.

Dalam menentukan pembahagian daging ini, daging korban yang dilapah perlu dibahagikan satu pertiga kepada individu yang berkorban, satu pertiga kepada fakir miskin, jiran serta saudara mara dan selebihnya satu pertiga kepada sesiapa yang memintanya.

Ini berdasarkan firman Allah SWT bahawasanya: “Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan fakir,” (Al-Haj, 28) dan ayat ke-36 surah Al-Haj: “Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya.”

Bagaimanapun, dilarang memberi upah kepada tukang lapah dan penyembelih atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal).

Namun, ia ‘harus’ jika termasuk daripada kalangan fakir miskin atau diberi secara sukarela orang ramai sebagai hadiah.

Malah, daging korban juga tidak dibenarkan dijual sebagaimana dipersetujui majoriti ulama.

Selain daripada itu, dalam menentukan syarat sah korban, sesebuah organisasi atau syarikat tidak boleh mengeluarkan perbelanjaan dan menyembelih korban atas nama syarikat.

Ini adalah kerana korban mesti dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu, dan semestinya bukan untuk organisasi yang bukan manusia.

Dalam melaksanakan korban ini, Rasulullah SAW menamakan hari sembelihan, iaitu 10 Zulhijjah sebagai Haji Akbar. (Riwayat Abu Daud dengan sanad sohih: Ibn Qayyim dan Albani). Sayyidina Ali Abi Talib juga pernah ditanya apa itu Haji Akbar, beliau menjawab: “Ia adalah hari sembelihan (iaitu haji raya pertama).” (Riwayat At-Tirmidzi)

Menurut Ulama, itulah yang dimaksudkan dalam ayat surat At-Taubah tetapi sesetengah ulama lain membawakan hujah mereka mengatakan Haji Akbar itu adalah Hari Arafah.

Sesetengah ulama pula bersama sahabat seperti Ibn Abbas RA dan Ibn Umar RA yang menyatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuhnya pada hari Jumaat dan pahalanya disebut sehebat 70 kali pahala Haji biasa.

Ia juga disebut oleh Imam Al-Ghazzali, ini bermakna pada Haji Akbar, semua orang yang berada di Arafah akan diampunkan.

Namun, ada sahabat mengatakan Haji Akbar adalah hari Arafah yang jatuh pada hari Jumaat, manakala Saidina Ali pula mengatakan ia hari korban pada 10 Zulhijjah dan setengah yang lain pula menyebut ia adalah semua hari-hari wukuf di Mina (hari Tasyrik).

Akhirnya, perlu dipastikan bahawa tarikh hari raya Aidiladha menurut ijtihad pemerintah kerajaan Saudi bagi menyatukan umat Islam di seluruh dunia (kecuali jika benar-benar sesebuah negara itu mengikut rukyah).

Ahad, September 26, 2010

Puasa Enam

Dipetik dari abunuha.com

Puasa enam boleh digabung dengan puasa qadha dengan syarat mendahulukan niat qadha. Namun mengasingkannya adalah lebih baik kerana lebih banyak amalannya, juga bagi keluar daripada perselisihan bagi mereka yang tidak menyetujui bahawa puasa sunat boleh digabung dengan puasa wajib.

Namun lebih menarik, jika puasa sunat enam itu bertepatan dengan hari khamis dan hari-hari putih (13,14 dan 15 setiap haribulan Islam), jadi boleh diniatkan dengan 3 dalam 1. Kalau campur qadha, jadilah 4 dalam 1.

Daripada Abu Hurairah ra beliau berkata : Rasulullah SAW telah bersabda : Sesungguhnya Allah Ta’ala telah berfirman :

“Barangsiapa yang memusuhi seorang waliKu, maka Aku akan isytiharkan perang terhadapnya. Seorang hambaKu tidak bertaqqarub (iaitu menghampirkan dirinya) kepadaKu dengan suatu amalan yang lebih Aku sukai lebih daripada amalan yang Aku fardhukan ke atasnya. Seseorang hamba sentiasa bertaqqarub dirinya kepadaKu, dengan amalan-amalan sunat sehingga Aku mencintainya.

Apabila Aku sudah mencintainya, maka jadilah Aku pendengarannya yang dia mendengar sesuatu dengannya, jadilah Aku penglihatannya yang dia melihat sesuatu dengannya, jadilah Aku tangannya yang dengannya dia melakukan kerja, jadilah Aku kakinya yang dengannya dia berjalan. Sekiranya dia meminta daripadaKu Aku akan kurniakannya dan sekiranya dia meminta perlindungan dariKu nescaya Aku akan melindunginya.” (HR al-Bukhari)

Rabu, September 08, 2010

salam lebaran 1431

selamat hari raya eidul fitri kepada semua umat Islam dari warga masjidbukharisemekar.blogspot.com sambutlah dengan kesyukuran dan kesederhanaan

Ahad, Ogos 29, 2010

Menghayati al-Quran dalam kehidupan

Sejarah penurunan al-Quran merupakan satu detik sejarah yang perlu diketahui oleh setiap individu muslim yang beriman. Al-Quran merupakan satu mukjizat yang terbesar kepada Nabi Muhammad S.A.W. yang akan kekal abadi hingga hingga hari kiamat. Ia menjadi satu kegemilangan dan keagungan kepada umat Islam keseluruhannya. Istilah penurunan ini dipanggil sebagai nuzul al-Quran yang membawa maksud amat mendalam, di mana al-Quran diturunkan dari tempat yang tinggi dan mulia iaitu luh mahfuz, kemudian diturunkan kepada nabi junjungan besar kita Muhammad S.A.W. secara berperingkat-peringkat mengikut keadaan dan keperluan semasa.

Perantara bagi penurunan al-Quran ini ialah Jibrail alaihisalam yang ditugaskan untuk membawa wahyu kepada para Nabi dan Rasul. Penurunan ini memakan masa selama 23 tahun, iaitu 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah menurut peristiwa ini telah diterangkan oleh Allah S.W.T. di dalam surah al-Syuri ayat 192 hingga 195 :
Bermaksud : “sesungguhnya al-Quran adalah diturunkan oleh Allah tuhan sekalian alam. Ia di bawa turun oleh malaikat Jibrail yang amanah ke dalam hatimu, supaya engkau (wahai Muhammad) menjadi seorang pemberi ajaran dan amaran kepada umat manusia, ia diturunkan dalam bahasa arab yang fasih serta terang dan nyata”.

Al-Quran merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah S.W.T. dan bukanlah satu rekaan dari nabi S.A.W. sebagaimana yang telah didakwa oleh musuh-musuh Islam. Tuduhan ini adalah tidak benar sama sekalian, kerana keindahan al-Quran bukan satu tahap yang mampu direka atau dicipta oleh manusia. Allah S.W.T. mencari kepada manusia mahu pun jin, jika mereka mahu mencari kehebatan al-Quran maka kumpulkanlah sebanyak mungkin mungkin mereka yang hebat-hebat, namun sudah pasti mereka tidak akan mampu untuk melakukannya. Cabaran ini telah dijelaskan oleh Allah dalam surah al-Isra ayat 88 :
Bermaksud : “katakanlah, sesungguhnya jika manusia dan jin berkumpul untuk membuat yang serupa dengan al-Quran ini, nescaya mereka tidak dapat membuat yang serupa dengannya, sekalipun mereka menjadi pembantu bagi sebahagian yang lain”.

Al-Quran adalah kitab yang tidak boleh dipisahkan dengan kehidupan kita. Tanda kerasulan Nabi Muhammad S.A.W semakin terserlah dengan kehadiran al-Quran, kerana pastinya kehadiran al-Quran menjadi pemisah antara yang hak dengan yang batil. Orang yang beriman pastinya merasa gembira dengan kehadiran al-Quran, kerana ia akan memberi khabar gembira dan mereka juga akan mengamalkan segala yang diperintahkan tanpa rasa ragu, namun bagi mereka yang ingkar kepada ajaran Allah sudah pasti ia tidak akan merasa takut, mereka hanya berpura-pura dan lebih menambahkan lagi kekufuran mereka. Kisah ini telah dijelaskan oleh allah S.W.T. dalam surah at-Taubah ayat 124 yang bermaksud : “dan apabila diturunkan satu surah al-Quran maka di antara mereka (orang munafik) berkata siapakah di antara kamu yang bertambah imannya dengan turunnya ayat ini? Ada pun orang yang beriman, turunnya surah ini menambahkan imannya sedang mereka merasa gembira”.

Al-Quran bukan sekadar untuk dijadikan hiasan, bukan dijadikan bahan simpanan yang memenuhi ruang almari dan rak-rak kita, tetapi al-Quran perlu di baca dan diamalkan isi kandungannya. Al-Quran selainmenjadi penyembuh segala penyakit, ia merupakan satu perkara yang paling besar hikmahnya, ia memberi rahmat dan petunjuk kepada hati setiap orang yang beriman. Firman Allah S.W.T. di dalam surah Yunus ayat 57 :
Bermaksud : “wahai sekalian manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu satu pengajaran dan nasihat dari tuhanmu dan penyembuh apa yang ada di dalam dada, lagi petunjuk dan rahmat bagi orang yang beriman”.
Bagi yang mengamalkan bacaan al-Quran di dalam kehidupan sehari-hari, sebenarnya bukan sahaja ia memberi kebahagian dan ketenangan di dunia, tetapi ia juga akan memberi syafaat di hari akhirat nanti. Hadis Nabi S.A.W. yang diriwayatkan oleh imam muslim menjelaskan :
Bermaksud : “bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat nanti sebagai pemberi syafaat kepada pembacaan”.
Sidang Jumaat yang dirahmati sekalian,

Al-Quran perlu ditadbir dan dipraktikkan dalam kehidupan. Adalah menjadi perkara yang mudah untuk mengamalkan dan mempraktikkan al-Quran dalam kehidupan, antaranya melalui doa harian yang kita baca setiap hari seperti doa menaiki kenderaan, doa kebaikan dunia dan akhirat, doa menuntut ilmu, doa penerang hati, doa ditetapkan iman dan berbagai doa lagi yang perlu kita amalkan. Selain dari itu cara mempraktikkan al-Quran ialah dengan cara selalu mendengar bacaan al-Quran sama ada radio atau kaset, mendampingi ahli al-Quran , menghadirkan kuliah dan ceramah agama, mengikuti kelas bacaan al-Quran, halqah, tadarus dan sebagainya. Secara tidak langsung ia sebagai membuktikan kita mengamalkan dan mendampingi al-Quran.

Hasil dari sikap kita yang mengamal dan menghayati al-Quran sudah pastinya akan memberikan kehidupan kita semakin baik, jiwa kita semakin tenang, rezeki akan bertambah serta berkat dan yang paling utama kita akan digolongkan ke dalam golongan orang yang mendapat syafaat al-Quran insyaAllah.

Kesan bagi mereka yang meninggalkan al-Quran dalam kehidupan akan membawa kepada kehidupan yang sempit dan susah. Tanpa al-Quran kehidupan akan penuh dengan kelalaian dan alpa dari mengingati Allah S.W.T. Kehidupan manusia akan sering sahaja mendahulukan perkara keduniaan dan menganggap segala apa yang diperolehi adalah hasil daripada usahanya sendiri. Mereka tidak mengetahui bahawa itu sebenarnya adalah dengan kehendak Allah S.W.T. Bagi mereka ini Allah S.W.T akan membalas kelalaian mereka dan akan dibangkitkan oleh Allah di hari kiamat dalam dalam keadaan buta. Firman Allah S.W.T di dalam surah Toha ayat 124 :
Bermaksud : “dan siapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjuk, maka sesungguhnya baginya kehidupan yang sempat dan kami (Allah) akan menghimpunkan dia pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

Kesan yang ke dua pula ialah manusia akan menjalani kehidupan di dunia ini mengikut acuan hawa nafsu shahwatnya secara melampau. Mereka tidak sedar bahawa ia akan kembali menemui Allah S.W.T. Kelakuan dan akhlaknya tidak bersandarkan akhlak seorang muslim. Nafsunya didorong oleh syaitan laknat Allah yang akan membawanya ke alam kesesatan, sedangkan kita sedia maklum bahawa syaitan dan nafsu itu merupakan musuh yang amat nyata. Sesungguhnya mereka inilah golongan yang berada di dalam keadaan kesesatan. Firman Allah S.W.T. di dalam Surah Mariam ayat 59 :
Bermaksud : “maka datanglah sesudah mereka pengganti yang hina, yang mensia-siakan solat dan menurutkan hawa nafsu. Sedang mereka kelak akan menemui kesesatan”.

Ketiga : mereka yang meninggalkan al-Quran dalam kehidupan akan mendidik jiwa ke dalam sifat yang takbur. Kehidupan mereka seolah-olah tiada kaitan dengan alam kematian dan hari kebangkitan. Mereka merasa segala kejayaan dan perancangan yang mereka lakukan adalah berdasarkan kehebatan dirinya sendiri. Ada golongan yang menolak kebenaran walaupun telah ditegur dan sebaliknya mendewa-dewakan kerosakan, mereka adalah orang yang tersesat dari jalan yang sebenarnya

Dengan ini mudah-mudahan kita tidak tergolong dalam golongan orang yang meninggalkan al-Quran.

Khamis, Ogos 12, 2010

senarai program bulan Ramadhan 1431

1) solat sunat taraweh
2) solat sunat dhuha
3) tadarus dan khatam al-quran
4) Sambutan Nuzul Quran
5) Kuliah Zohor dan tazkirah pagi ramadhan
6) Taalim Ramadhan
7) Penerbitan risalah ramadhan
8) Bazaar Ramadhan
9) Publisiti Banner ramadhan
10) Masih ada yang sayang (tabung sumbangan)
11) Ziarah masjid / surau sekitar ranau

SALAM RAMADHAN 1431!

Khamis, Julai 15, 2010

MATI SATU KEPASTIAN

Kullu nafsin zaaiqotul maut... Setiap yang bernyawa pasti akan menemui kematian. Begitulah yang telah disebut oleh Allah s.w.t. dalam firmannya sebagai tanda dan renungan buat umat manusia. Sehebat mana manusia, setinggi mana kemuliannya, sealim mana ilmunya, bila sudah sampai masanya pasti akan bertemu semula dengan Allah s.w.t. Kematian merupakan tazkirah bagi yang masih hidup. Justeru, bagi yang masih bernafas, di manakah kedudukan kita? Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang dimuliakan Allah dan Rasul-Nya. Allahumma amin.

(Warga masjid al-Bukhari mengucapkan takziah buat keluarga Allayarham Haji Nahar Haji Mantamin di atas pemergian beliau ke rahmatullah)

Khamis, Julai 01, 2010

SUKAN OH SUKAN!

Sekarang ini merupakan musim sukan sekolah. Sana sini sekolah mengadakan sukan bagi mengcungkil bakat dan ‘kekuatan’ anak-anak murid melalui pelbagai disiplin dan acara yang ditetapkan.

Banyak isu yang timbul bila kita menjalankan acara sukan ini. Dari kemudahan yang kurang berkualiti sehinggalah sensitiviti dalam hukum hakam. Sebagai seorang muslim, memang besar hasrat bagi melihat sukan tersebut dijalankan dalam suasana menepati kehendak syariah Islamiah juga merupakan antara cabaran yang paling besar dalam bidang pendidikan.

Pengalaman penulis di sekolah pertama dahulu (SMK harian) sememangnya mencabar iman dan takwa. Apatah lagi dilantik sebagai ketua guru rumah sukan pada waktu itu. Perasaan berbelah bagi antara kejayaan atlit yang dididik dengan tuntutan hukum agama. Bermacam-macam alasan yang timbul seperti pakaian menutup aurat akan menyebabkan prestasi sukan akan terjejas. Bukan sahaja menghadapi kerenah atlit tetapi juga stigma daripada sebahagian guru dan juga masyarakat menyumbang terhadap permasalahan ini.

Berada di SMKA ini bukan juga noktah dan penamat bagi permasalahan ini. SMKA diharap boleh menjadi contoh kepada SMK harian yang lain bahawa sukan juga boleh dijalankan walaupun dengan pakaian yang menutup aurat. Masalah kekurangan dana seperti membeli kasut olahraga merupakan cabaran utama sehingga menyebabkan atlit perempuan berkaki ayam dan auratnya terdedah. Agak lucu juga sebahagian atlit perempuan yang hanya berlari sambil memakai stokin sahaja semata-mata hendak memastikan auratnya sentiasa terjaga. Namun begitu. Penghargaan seharusnya diberikan kepada mereka yang berusaha untuk menutup aurat walaupun menyedari risiko tewas dalam acara yang disertainya.

Juga kepada pegawai-pegawai kejohanan, contoh yang terbaik adalah penting bagi memastikan apa yang diusahakan (baca: diperjuangkan) akan memudahkan proses mencapai matlamat sesuatu perkara yang akan mendapat keredhaan Allah. Sekiranya dalam SMKA pun tidak selesai natijahnya, bagaimana hendak memperkembangkan contoh dan tauladan terhadap pihak luar? Islam tidak menghalang kegiatan sukan kerana ianya mendatangkan faedah dan baik untuk kesihatan juga merupakan sebahagian daripada bentuk ibadah asalkan ia selari dengan syariah.

Sekali lagi, sememangnya menjadi harapan agar sukan terutamanya sukan sekolah dapat dijalankan mengikut lunas-lunas Islam supaya ia tidak akan menjadi: Yang dikejar (pahala) tak dapat yang dikendong (akidah) beciciran!

Khamis, Jun 17, 2010

Jagalah kebersihan tandas masjid

Dalam menguruskan hal ehwal masjid ini, selain dari menguruskan bahagian dalaman dan luaran masjid supaya indah mata memandang dan damai terasa, kebersihan tandas juga amat penting di dalam sesebuah institusi masjid. Pengalaman penulis, ramai pengunjung datang ke masjid, sudah pasti akan melawat ke tandas masjid terlebih dahulu samada untuk melakukan qada’ hajat atau sekadar mengambil wudhu’ sahaja.
Tandas yang bersih melambang keindahan Islam yang amat penting menjaga kebersihan. Sememangnya sedih apabila sesebuah masjid atau surau tidak dapat menguruskan tandas dan bilik wudhu’ dengan sempurna. Lawatan penulis ke beberapa masjid dan surau, selalunya tandas masjid yang berada di kawasan luar Bandar (kampung) sememangnya amat daif dan tidak terurus. Ditambah lagi dengan mentaliti sebahagian masyarakat yang tidak menghargai dan menjaga kebersihan tandas masjid. Kadang-kadang mereka ini menjadikan tandas sebagai pusat ‘singgah lalu’ mereka sahaja.
Tandas masjid yang berada di kawasan bandar sememangnya terjaga dan terurus. Hal ini mungkin disebabkan mereka mempunyai petugas yang khusus untuk membersihkan tandas. Ini tidak serupa dengan apa yang berlaku di kawasan luar bandar yang serba serbi kekurangan. Namun begitu, itu bukanlah merupakan alasan yang sesuai bagi mengelakkan diri daripada terlepas tanggungjawab menjaga kebersihan tandas. Berbeza dngan tempat ibadat bukan Islam yang memiliki pengurusan yang teratur dan sistematik.
Sudah sampai masanya masyarakat Islam merubah sikap dan minda dalam menjadikan tandas masjid sebagai tempat yang bersih dan selesa sekaligus dapat memartabatkan Islam sebagai agama yang suci dan murni.
P/S: Umat Islam sepatutnya menghulurkan bantuan (sedekah) kepada masjid, sekurang-kurangnya ada juga dana masjid untuk ‘maintain’ kebersihan tandas.

Ahad, Jun 13, 2010

BULAN REJAB BULAN MULIA

Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan. Ia adalah bulan ketujuh di dalam kalendar Islam dan merupakan bulan yang sangat dimuliakan di dalam Islam.
Banyak hadis Rasulullah S.A.W. yang telah diriwayatkan oleh para sahabat Baginda mengenai kelebihan di bulan Rejab.

Bercakap tentang bulan ini maka ianya akan berkait rapat dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj, iaitu satu peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w semasa menerima kefarduan solat lima waktu. Firman Allah dalam surah Al Isra’ ayat1 –

سـُبْحَانَ الَذِي أَسـْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلا ًمِنَ المَسـْجِدِ الحَرَامِ إِلَى المَسـْجِدِ الأَقْصَى الَذِيْ بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ ءَايَاتِناَ

“Maha Suci Allah, yang Telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Masjid Al Aqsha yang Telah kami berkahi sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebagian dari tanda-tanda (kebesaran) kami. "

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj berlaku pada tahun yang ke sebelas dari kenabian Rasulullah iaitu dua tahun sebelum hijrahnya Rasulullah ke Madinah. Tahun kesebelas ini juga dikenali sebagai “Tahun Kesedihan “ di mana Rasulullah telah kehilangan seorang insan yang telah banyak berkorban dan membantu Baginda dalam menyebarkan agama Allah.

Isra’ dalam bahasa Arab bermaksud berjalan pada waktu Malam manakala Mi’raj adalah naik ke langit . Dalam ayat tersebut menceritakan bahawa Allah s.w.t. telah memperjalankan Rasulullah s.a.w. di waktu malam hari dari masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin yang bermula selepas solat Isyak dan berakhir sebelum solat subuh malam yang sama.
Bagi kaum kafir Quraisy, mereka tidak boleh menerima sama sekali dakwaan Rasulullah ini kerana agak mustahil perjalanan yang jauh dan mengambil masa lebih kurang 40 hari boleh dicapai hanya dengan beberapa jam sahaja.

Orang-orang kafir cuba menjadikan isu ini sebagai modal untuk mereka mengatakan bahawa Rasulullah itu gila, tidak siuman dan sebagainya tuduhan-tuduhan yang boleh menjatuhkan imej Rasulullah s.a.w. Kalau kita perhatikan dalam ayat di atas, Allah menjelaskan bahawa Rasulullah diperjalankan bukannya Rasulullah berjalan. Kenderaan yang Rasulullah guna adalah seekor burung dari syurga ( Buroq ) yang bergerak laju sepantas kilat. Jadinya tidak timbul masalah Rasulullah boleh ke Masjid Al-Aqsa dan kembali semula ke Mekah dalam masa yang singkat iaitu sebelum waktu Subuh pada malam yang sama.

Sesungguhnya orang orang yang beriman sudah pasti akan meyakini peristiwa ini dan akan mengatakan bahawa ini adalah dari tanda-tanda kekuasaan Allah.
Dalam peristiwa ini juga Allah telah menunjukkan kepada kita betapa orang yang paling gembira dan menyanjungi Rasulullah ketika Nabi dilahirkan (Abu Lahab: bapa saudara Nabi ) tiba-tiba telah mencerca dan menempelak Nabi dengan berkata:

“ Celakalah Kau Muhammad, Adakah kerana ini engkau mengumpulkan kami disini.”

Dengan kata kata ini maka turunlah surah Al-Lahab yang mencela kembali Abu Lahab yang maksudnya berbunyi:

" Binasalah kedua tangan Abu Lahab dan sesungguhnya dia akan binasa (1) Tidaklah berfaedah kepadanya harta bendanya dan apa yang ia usahakan. (2) Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergejolak (3) Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (4) Yang di lehernya ada tali dari sabut " (5)

Selain dari peristiwa Isra’ dan mi’raj ada lagi peristiwa-peristiwa besar yang berlaku di bulan Rejab iaitu

1) HIJRAH PERTAMA KE HABSYAH

Ianya berlaku kerana pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah s.a.w dan mereka yang beriman kepada Rasulullah s.a.w pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah s.a.w memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.
Di antara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Uthman r.a. dan isterinya Ruqayyah yang merupakan anak Rasulullah s.a.w. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih kerana rajanya ( Raja Najasyi ) dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2) PEMBEBASAN KOTA SUCI BAITUL MAQDIS DARI TENTERA SALIB

Baitulmaqdis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab r.a. di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan pepecahan umat Islam di zaman pemerintahan Abbasiyah, Tentera Salib (Kristian) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitulmaqdis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitulmaqdis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintah Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitulmaqdis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salahuddin Al-Ayubi. Beliau telah menawan kembali Baitulmaqdis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H kota suci ini telah jatuh ke tangan tentera Yahudi Laknatullah alaihim dan mereka bercita-cita untuk merobohkan Masjid Al Aqsa.

3) LAHIRNYA IMAM AS -SYAFIE R.A.

Nama sebenar Imam As-Syafie r.a. ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghazza, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia fiqh. Diantara peninggalan Imam As-Syafie r.a. yang menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab Al-Umm.

Sabtu, Jun 12, 2010

S.M.K.A (Saya Mencari Keredhaan Allah) Khusus buat pelajar-pelajar SEMEKAR

Apabila menonton rancangan reality terbitan Astro yang terbaru iaitu program IMAM MUDA, sebuah racangan berunsurkan keagamaan, penulis terfikir kepada diri sendiri bagaimanakah hendak menghasilkan seseorang manusia yang berkualiti dari segi kehidupan bersyariat. Sentiasa teringat tentang anak-anak murid yang hendak diacukan menjadi serupa yang terpapar di rancangan IMAM MUDA tersebut. Otak memerah keras akan pelbagai program yang hendak diatur demi menjadikan produk SEMEKAR lain dari yang lain, sekurang-kurangnya di peringkat daerah Ranau dan pedalaman (Tambunan ke bawah).

Menjadi kerisauan penulis juga rakan seangkatan mengenai kedegilan sebahagian pelajar yang sukar memahami aspirasi SMKA iaitu Saya Mencari Keredhaan Allah. Gejala-gejala yang sukar untuk dibendung bahkan dikurangkan seperti couple (kadang-kadang couple melampau), pengamalan budaya-budaya keras (punk, rock, skin dan sebagainya), enggan menuruti syariat Islam seperti menutup aurat (bagi lelaki dan perempuan tidak ada bezanya) dan malas melakukan solat apatah lagi solat berjamaah.

Hakikatnya, sebahagian pelajar SEMEKAR malu untuk menonjolkan dirinya sebagai pelajar SMKA di tempat masing-masing. Mungkin situasi ini pernah terjadi:

Situasi 1:

A : Kenapa kau pakai seluar pendek? Bukankah kau pelajar SMU (SEMEKAR)?

B : Alah, SMU pun bukan semestinya alim.

A : Tapi apa orang akan cakap?

B : Alah, padul lah ba! Hidup aku bukan orang lain punya.

Situasi 2:

C : Cantiknya gambar mu di fb (Facebook) itu. Tapi kenapa lain saja pakainya? (Tidak pakai tudung)

D : Alah, rimaslah kamu kaitkan aku dengan soehah-solehah ini. Aku juga mau bebas macam

budak-budak lain.

C : Kalau kenampakan Ustaz @ Ustazah?

D : Buat tak tau jer, kubur sendiri-sendiri.

Memang seringkali ‘kedapatan’ sebahagian pelajar-pelajar SMU yang mengelak untuk berindentitikan pelajar SMKA, seperti berpakaian yang tidak sepatutnya, berada di pusat-pusat hiburan (kadang-kadang dialah juara berbanding pelajar-pelajar sekolah lain), mahupun berbudaya barat yang keterlaluan seperti bertindik, mewarna rambut bukan sepatutnya.

Perjuangan tetap diteruskan. Membentuk Iman adalah amanah, tapi haruslah juga berusaha selagi terdaya. Cabaran dan tohmahan sememangnya asam garam dalam berdakwah, bahkan itulah pemanisnya di kala hati sedang diremuk redam. Semoga segala usaha ini diberkati oleh-Nya.

Isnin, Mei 31, 2010

Mengislamkan Perayaan Kaamatan

Kaamatan? Bagi yang tidak mengetahui, ia merupakan perayaan besar bagi kebanyakkan masyarakat di negeri Sabah, tujuan utamanya ialah bagi menzahirkan kesyukuran di atas kurniaan rezeki yang dinikmati (Biasanya dirujuk kepada hasil tuaian padi= padi sawah atau bukit).

Mengikut tradisinya, kebiasaannya masyarakat (terutama kadazan dusun) merayakan dengan mengadakan pelbagai acara tradisi seperti membuat hasil makanan berasaskan beras seperti nasi dalam bambu, kuih tapai nasi dan juga minuman tapai.

Kedatangan Islam sebenarnya banyak merubah kehidupan masyarakat kadazan dusun yang dahulunya mengamalkan cara hidup 'pagan' (animisme) kepada cara hidup mengikut cara Islam. Akan tetapi masih juga segelintir masyarakat Muslim Kadazan Dusun yang mengamalkan cara hidup dahulu dengan alasan ia merupakan tradisi yang perlu dipertahankan.

Sejauhmana kenyataan tersebut boleh digunapakai? Penulis bersetuju yang mana sesetangah tradisi dan adat boleh dikekalkan dengan syarat ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Oleh itu, perayaan Kaamatan ini boleh disambut dengan mengubahsuai cara sambutannya. Sesuai dengan menzahirkan kesyukuran terhadap tuaian rezeki, maka kenduri kesyukuran dengan bacaan doa selamat boleh dilakukan. Dan di samping itu, pemberian zakat pertanian akan membuatkan lagi rezeki yang diperolehi bertambah berkat.

Pakaian tradisi masyarakat Kadazan Dusun juga boleh dikekalkan tetapi dengan sedikit pengubahsuaian, seperti pakaian perempuan yang mengikut ciri-ciri pakaian muslimah tetapi tidak meninggalkan ciri-ciri penting dan asas pakaian itu seperti sulaman emas dan manik-maniknya.

Di daerah Ranau khususnya, terdapat 3 buah institusi utama yang melibatkan pendidikan agama iaitu Pusat Latihan Dakwah Kundasang, SMK Agama Mohamad Ali dan SMA al-Irsyadiah. Ketiga-tiga institusi ini banyak membantu memberi kefahaman Islam kepada masyarakat sekitar terutamanya yang berbangsa Kadazan Dusun. Oleh itu, menjadi harapan kepada generasi akan datang agar dapat memartabatkan tradisi Kadazan Dusun seiring dengan kepesatan Islam yang merupakan agama penyelamat umat.

Sama-samalah kita memperjuangkannya.

SELAMAT BERCUTI

Pihak Masjid al-Bukhari mengucapkan selamat bercuti kepada semua warga SEMEKAR. Sempena cuti:
1) Jangan lupa Allah
2) Jangan lupa pelajaran dan ulangkaji
3) Jangan melakukan perkara-perkara yang memburukkan nama agama, keluarga dan sekolah.
4) Sempena piala dunia, jangan buat 'samba' di kepala.
5) Buat persediaan untuk semester kedua. Insya Allah Mudirah (Pengetua) kita sudah tiba.
Dan akhir sekali, jangan lupa mendapatkan informasi terkini SEMEKAR melalui web yang berkaitan seperti web ini, facebook asrama semekar dan web rasmi sekolah.

Selasa, Mei 18, 2010

SELAMAT HARI GURU 2010


Sebahagian guru yang berdedikasi

PIHAK MASJID AL-BUKHARI
MENGUCAPKAN
SELAMAT HARI GURU
SEMOGA MENJADI GURU YANG CEMERLANG

Selamat menempuh musim peperiksaan Pertengahan Tahun 2010


Sebahagian calon PMR 2010 sedang mengikuti ujian di Dewan al-Syafie

Bermula dari 10 Mei lagi, warga sekolah sibuk menjalani urusan peperiksaan. Guru sibuk menyiapkan urusan soalan dan pelajar pula sibuk dengan mengulangkaji pelajaran. Bagi pelajar menengah atas, peperiksaan berjalan mulai 10 Mei sehingga 21 Mei. Manakala bagi pelajar menengah rendah pula, mereka akan menghadapi peperiksaan seminggu kemudian.

Peperiksaan ini dijalankan bagi mengukur sejauh mana keupayaan pelajar dalam memahami apa yang telah diajar oleh guru mereka. Justeru, adalah diharapkan agar pelajar dalam mezahirkan proses pemahaman mereka dalam bentuk keputusan yang cemerlang. Pihak Masjid al-Bukhari mengucapkan selamat menjalani peperiksaan Pertengahan Tahun dan buat yang terbaik.

Aktiviti Kerohanian Jumaat 14 Mei 2010

Program pada hari tersebut dimulai dengan Iza'ah Quraniah yang diperdengarkan di serata sekolah mulai 11.50am. Kemuadian pelajar-pelajar melakukan tadarus Quran mulai 12.00pm dan mengakhiri tadarus mereka dengan membaca surah al-Jumuah dan al-Munafiqun.

Selepas itu, tazkirah jumaat menyusul dengan Syed Syazwan Watinin menjadi penyampainya. Dalam tazkirahnya beliau menegaskan melalui hadith Rasulullah bahawa seseorang hamba tidak akan melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Allah selagi dia dalam keadaan beriman. Tazkirah itu berlangsung selama 10 minit.

Bilal pada hari itu ialah adik Syarul Nizam Syamsudin dari kelas 3 Ismail al-Faruqi. Khatib, Us. Zaid Ali menyampaikan khutbah berkenaan jenis manusia menjalankan dakwah dan cabarannya. Beliau juga menambah bahawa SMKA perlu menjadi role model dalam menjalankan sebarang aktiviti kerana masyarakat sekeliling akan memerhatikan apa yang pihak SMKA lakukan.

Selesai solat Jumaat, berlangsung pula acara kerohanian Jumaat di kalangan pelajar puteri. Sesi tazkirah dan zikir dijalankan. Semoga program seperti ini terus dijalankan sebagai pengisian waktu Jumaat pada masa akan datang.

Rabu, Mei 12, 2010

Syukur Kepada Allah Yang Memberi Rezeki

Entri pada kali ini menjurus tentang kaitan rezeki Allah dan kenikmatannya dengan apa yang dilakukan oleh pihak warga SEMEKAR. Pihak Masjid Bukhari amat percaya dan yakin bahawa SEMEKAR sedang menuju ke arah kegemilangan dan kemashuran. Pemantapan aktiviti terutama solat berjamaah, bangun awal pagi untuk melakukan solat malam, solat sunat dhuha, dan bermacam-macam lagi bertujuan untuk membina sahsiah dan akhlak pelajar sambil mempereratkan hubungan dengan Maha Pencipta bagi membolehkan warga SEMEKAR memperoleh pelbagai lagi kenikmatan dan kerahmatan-Nya. Pihak Masjid Bukhari melalui JPI dan BADAR sentiasa berusaha agar program-program ini akan menjadi satu budaya yang warga SEMEKAR akan lakukan setiap hari. Apa yang tidak baik itu tinggalkan sahaja menjadi sempadan. Mudah-mudahan Allah akan memberi rahmat ke atas apa yang kita lakukan.

Isnin, Mei 10, 2010

Program Solat Tanpa Masbuk

Kedengarannya pelik! Tapi itulah yang perlu dilakukan oleh semua pihak, bagi memantapkan lagi sahsiah dan akhlak pelajar, program ini ditekankan agar pelajar-pelajar dapat memahami akan kepentingan solat di awal waktu. Mudah-mudahan dengan cara ini, Allah akan memberi banyak rezeki dan kerahmatan ke atas warga sekolah.

Selamat Datang Pelajar Pra-U Sesi 2010

Pihak Masjid al-Bukhari SEMEKAR mengucapkan selamat menempuh alam Pra-U kepada semua siswa yang telah mendaftar. Perbetulkan niat dan azam untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

Jumaat, Mac 19, 2010

Keputusan SPM 2009

Secara ringkas dimaklumkan keputusan SPM 2009:
1) Syahrizam Tahir :12 A
2) Mohd Syaihan Jahali : 8 A
3) Fitri Ashikin Simon : 7A
Tahniah buat mereka dan lain-lain.

Sultan Muhammad al-Fateh

IKON : SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH

Sabda Rasulullah SAW : “Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menakluknya adalah sebaik-baik pemimpin, pasukan yang berada di bawah komandonya adalah sebaik-baik pasukan” (HR Ahmad).

Sultan Muhammad al-Fateh dilahirkan pada 27 Rejab 835H bersamaan 29 Mac 1432M.

Ketika dalam buaian lagi baginda sudah diisyaratkan bakal mencipta sejarah oleh seorang alim bernama Syeikh Syamsuddin al-Wali. Beliau pernah berkata kepada Sultan Murad (ayahanda kepada Muhammad) :

“Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota Konstantinopel, tetapi anak yang di dalam buaian ini”, sambil menunjuk kepada Sultan Muhammad yang masih di dalam buaian.

Sepanjang hidupnya, Sultan Muhammad dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Baginda membesar sebagai pemuda yang berbadan sasa, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan berhidung mancung.

Sultan Muhammad menaiki takhta ketika berumur 19 tahun menggantikan ayahandanya yang mangkat.

Ketika itu, baginda sudah begitu arif dengan tipu helah musuh. Pernah Maharaja Konstantinopel mengirim guru-guru terbaik bagi mendidiknya mengenai istiadat raja-raja, tetapi baginda menolaknya.

Baginda sendiri yang membina benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir sehingga para ulama dan menteri terpaksa ikut serta.

Setelah berjaya menakluk Kota Konstantinopel pada 30 Mei 1453 selepas pertempuran selama 53 hari, Sultan Muhammad al-Fateh yang berumur 21 tahun ketika itu menukar nama kota tersebut kepada Istanbul dan menjadikannya sebagai ibu kotanya.

Suatu babak yang hebat berlaku ketika tentera dan pejuang Islam hendak menunaikan solat Jumaat di Masjid Aya Sophia. Timbul persoalan, siapakah yang layak menjadi imam. Sultan Muhammad al-Fateh mencadangkan gurunya, Syeikh Syamsuddin al-Wali tetapi dia menolak dengan alasan sudah tua.

Sultan Muhammad al-Fateh keluar ke kawasan lapang di depan masjid. Baginda menyuruh semua tenteranya berdiri lalu berkata, “Siapakah di antara kalian yang pernah meninggalkan solat fardhu lima waktu, sila duduk!”

Tiada seorang pun yang duduk menandakan kesemua tentera Sultan Muhammad al-Fateh tidak pernah meninggalkan solat lima waktu.

Kemudian baginda berseru lagi, “Siapakah antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat rawatib, sila duduk.”

Separuh tenteranya duduk. Kemudian Sultan Muhammad al-Fateh bertanya lagi, “Siapakah di antara kalian yang pernah meninggalkan solat sunat tahajjud, sila duduk!”

Semua yang berdiri, duduk kecuali seorang. Dia adalah Sultan Muhammad al-Fateh sendiri.

Semenjak baligh baginda tidak pernah meninggalkan solat lima waktu, solat sunat rawatib dan solat sunat tahajjud.

Sultan Muhammad al-Fateh mangkat pada 3 Mei 1481 ketika berumur 49 tahun setelah diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa.

(Rujukan : Novel Sejarah Islam : Sultan Muhammad al-Fateh Penakluk Konstantinopel oleh Abdul Latip Talib, terbitan PTS Litera cetakan 2009)

(Dipetik dari web abunuha.wordpress.com)

Selamat Bercuti

Sempena cuti pertengahan semester 1 yang sedang berlangsung, pihak Masjid al-Bukhari mengucapkan selamat menjalani musim percutian. Beberapa perkara harus diambil perhatian oleh pelajar-pelajar:
1) Jangan lupa Allah di mana sahaja
2) Lakukan perkara yang menjaga nama baik keluarga dan sekolah
3) Musim panas!: Jaga kesihatan
4) Buat kerja rumah terutama pelajar PMR, SPM dan STPM
5) Jenguk2lah web sekolah dan kaitannya!

Selasa, Mac 02, 2010

Keputusan STPM 2009

1) Safarina Md Fathoni: 3.75
2) Nur Hidayah Zainal Abidin: 3.50
3) Noorhazierah Latuwoh: 3.30
4) Nurhidayati Rajikan: 3.00
5) Zul Hadi Saimin & Mohd Naim Md Saad: 2.92

Isnin, Mac 01, 2010

Tahniah Buat Mereka


Gambar di atas: Safarina dan Norhazirah (2 dari kanan) sewaktu mewakili sekolah dalam pertandingan debat bahasa arab peringkat kebangsaan tahun 2009 lalu.

Buat pertama kalinya semenjak penubuhan SEMEKAR 20 tahun lalu, sekolah ini telah berjaya memperolehi 100% calon STPM 2009 prinsipal. Dalam keputusan yang diumumkan baru-baru ini, Safarina Mohd Fathoni memperolehi CGPA 3.75, diikuti Nurul Hidayah Zainal Abidin iaitu 3.50. Segulung tahniah buat semua calon dan pihak masjid al-Bukhari mendoakan agar mereka akan mendapat tempat di IPTA kelak.

Ahad, Februari 28, 2010

SAMBUTAN MAULIDURRASUL 1431

Pada 27 Febuari yang lalu, sekolah telah menyertai acara perarakan dan sambutan maulidurrasul peringkat daerah Ranau. Dalam acara tersebut, seramai 250 orang pelajar dan guru terlibat dalam perarakan yang bermula dari padang Pekan menuju ke dewan masyarakat Ranau. Kontijen sekolah telah berjaya menggondol pertandingan sepanduk dan disiplin perbarisan terbaik dan membawa hadiah wang tunai RM400. Apa yang lebih penting, majlis ini bertujuan bagi menzahirkan rasa cinta dan kasih kepada junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. sebagai pemimpin agung seluruh umat.

Majlis Aku Janji Pelajar PMR, SPM dan STPM 2010

Bertempat di Dewan al-Syafie dan bertarikh 25 Febuari, majlis Aku Janji Pelajar PMR, SPM dan STPM 2010 telah berlangsung. Majlis ini bertujuan bagi meningkatkan kesedaran kepada calon-calon PMR, SPM dan STPM berkenaan target dan usaha mereka dalam mencapai kegemilangan dalam peperiksaan masing-masing. Sambutan dari pihak ibu bapa amatlah membanggakan walaupun ada yang terpaksa datang dari jauh dan jatuhnya program ini pada hari pekerja. Majlis diakhiri dengan sesi dialog bersama dengan pihak pentadbir sekolah.

Kursus Pemantapan Solat

SEMEKAR, 20 Feb: Satu kursus telah diadakan iaitu kursus pemantapan solat bagi pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 2, bertempat di masjid al-Bukhari. Kursus ini dihadiri oleh semua pelajar tingkatan 1 dan 2 sebagai peserta dan sebilangan fasilitator. Dijalankan selama 2 hari, kursus ini dimulakan dengan pembahagian kumpulan dan ceramah pengenalan solat oleh Ustaz Rezany Mohd Taufek. Upacara penutupan telah disempurnakan oleh Ustaz Aziz Muji, P.K. HEM sekolah. Semoga kursus ini memberi manfaat buat para peserta.

Sabtu, Januari 23, 2010

Tazkirah oleh Tokoh Istimewa

Masjid al-Bukhari, 23 Jan: Satu sesi tazkirah maghrib telah disampaikan oleh seorang tokoh pendakwah bebas iaitu Pa' Harun. Beliau berasal dari Ambon, Indonesia sebenarnya telah lama berkecimpung dalam bidang dakwah seawal zaman 70-an lagi dan seangkatan dengan para pendakwah yang di'import' khas dari Indonesia seperti Ustaz Mukhlis Ali Kassim, Ustaz Abu Hurairah, Ustaz Umar Sidik (Allahyarham) dan lain-lain lagi. Dalam tazkirahnya beliau menyampaikan apa sebenarnya peranan sebagai seorang manusia dan sesuai dengan audiennya yang rata-rata pelajar, beliau mengaitkan pelajar dengan tanggungjawab yang seharusnya. Tazkirah beliau diselitkan dengan unsur-unsur humor yang membuatkan para audien tak kering gusi. Bagi pihak Masjid al-Bukhari, jutaan terima kasih yang tidak terhingga diucapkan dan diharapkan agar beliau datang lagi di masa akan datang.