Selasa, Julai 14, 2015

PENUTUPAN IHYA' RAMADHAN, SALAM JAMAIE DAN PERUTUSAN KHAS AIDILFITRI

Pada 10 Julai lalu, bersempena dengan hari terakhir persekolahan sebelum menjelangnya cuti khas aidilfitri, satu majlis 3 in 1 iaitu Penutupan Ihya' Ramadhan, Salam Jamaie dan Perutusan Khas Aidilfitri telah dijalankan. Bertempat di dewan besar SMKA Keningau, majlis bermula jam 11 pagi dimulai dengan persembahan khas marhaban oleh pasukan sekolah yang baru sahaja memenangi pertandingan marhaban sekolah-sekolah peringkat daerah.

Sebahagian penonton yang menghadiri majlis

Setelah persembahan yang penuh bersemangat itu, majlis diteruskan dengan Perutusan Khas Aidilfitri oleh yang berbahagia tuan mudir, Ustaz Haidon Hadi Sapiri. Dalam ucapannya, beliau menasihatkan agar walaupun kemeriahan perayaan aidilfitri semakin terasa, namun jangan dilupa bahawa bulan ramadhan belum lagi berakhir kerana pelajar akan berada di rumah selama seminggu dalam bulan tersebut sebelum menjelangnya aidilfitri. Oleh itu, pelajar dan warga sekolah perlulah menambah amal ibadat terutama dalam pencarian malam al-Qadr. Beliau menambah lagi, ucapan hari raya tidak sepatutnya diucapkan kerana hari perayaan tersebut masih belum menjelma lagi.

Tuan Mudir menyampaikan perutusan khas

Selesai ucapan, tayangan filem pendek oleh pelajar-pelajar dijalankan. Tahun ini, hanya 2 kumpulan sahaja yang menghantar penyertaan. Penonton nampaknya terhibur dengan tayangan filem pendek tersebut yang berunsurkan dakwah dan nasihat. Pertandingan tersebut dimenangi oleh kumpulan tingkatan 5 manakala kumpulan tingkatan 2 merangkul naib johan.

Sesi diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang dalam pertandingan Ihya' Ramadhan Perdana. Antara pertandingan yang dijalankan ialah pertandingan azan, penulisan khat dan kaligrafi, hafazan tingkatan daan perdana, serta tazkirah ramadhan. Anugerah khas Ihya' Ramadhan juga disampaikan kepada pelajar tingkatan 3 yang menjadi bilal taraweh sepanjang bulan Ramadhan.



Majlis diakhiri dengan salam bermaafan-maafan. Suasana ceria dan juga haru mewarnai majlis bersalam tersebut. Berakhirlah sudah program Ihya' Ramadhan secara rasmi disebabkan sekolah bercuti panjang mulai 11 Julai sehingga 22 Julai. Semoga program ini meninggalkan kenangan yang terindah buat kita semua dan semoga dipertemukan lagi dengan Ramadhan akan datang. Ramadhan Kareem. Allahu Akram.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan