Jumaat, Julai 10, 2015

PROGRAM HAFAZAN PERDANA

SMKA Keningau baru sahaja berusia hampir 3 tahun. Walau masih bertatih, namun telah banyak kemajuan yang dicapai oleh sekolah ini. Salah satunya ialah penghasilan pelajar yang cemerlang dalam bidang al-Quran.

Program Hafazan Perdana merupakan salah satu program kecemerlangan al-Quran selain daripada hafazan tingkatan. Bermula dari tahun 2014, program ini dijalankan dengan makluman rasmi kepada semua ibu bapa. Hafazan Tingkatan menggunakan silabus KKQ Kementerian Pendidikan, manakala Program Hafazan Perdana bermula daripada Juzuk 1 sehinggalah Juzuk 5. (Setahun 1 Juzuk).

Alhamdulillah, pada tahun ini sekolah meraikan 3 orang pelajar yang berjaya menamatkan hafazan juzuk pertama. Satu permulaan yang baik dan diharapkan dapat diteruskan sehingga mencapai matlamat. Bukanlah mudah untuk menghabiskan hafazan dengan tugasan dan subjek yang berlambak-lambak.

Pelajar-pelajar ini diraikan bersama majlis Khatam Quran pada 9 Julai lalu. Pelajar yang diiringi oleh ibu bapa menerima senaskhah Quran, hadiah wang tunai dan sijil penghargaan.

Jutaan tahniah dan syabas kepada Nur Adibah Md. Zaini yang menghabiskan juzuk 1 bagi kategori puteri. Mohd Imtiyazuddin Md. Khairuddin bagi kategori putera. Manakala Danial Ariff Md. Radzi menyusul bagi kategori sama. Semoga mereka mendapat rahmat Allah dan menjadi penyejuk mata dan hati ibu bapa masing-masing. Berbanggalah bagi ibu bapa mereka!

Semoga dengan majlis ini dapat memberi semangat yang kuat buat pelajar lain bagi menghabiskan hafazan dan melahirkan lebih ramai lagi para huffaz di masa akan datang. Tidak lupa juga jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada para penyumbang yang telah membantu menjayakan lagi program ini. Semoga Allah membalas mereka semua dengan ganjaran pahala dan keberkatan hidup.

 Mohd Imtiyazuddin Md. Khairuddin

 Danial Ariff bersama bapanya En. Md. Radzi

 Penyelaras program memberikan taklimat program

  Antara cenderamata yang diterima peserta, hasil sumbangan orang ramai

Tiada ulasan:

Catat Ulasan